Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali bercakap pada program Wacana Intelek Pembangunan Bumiputera ketika di Anjung Melayu, Bukit Petaling, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa pemansuhan sistem berpencen dalam kalangan kakitangan awam adalah helah yang dicetuskan oleh DAP.

Beliau mendakwa, cadangan itu dibuat DAP untuk melemahkan orang Melayu yang monopoli perkhidmatan awam sekali gus menjadi sendi kepada politik negara.

“Sebenarnya pencen ini isu yang ditimbulkan oleh DAP yang selalu sebut kita mesti gempur perkhidmatan awam yang dimonopoli oleh orang Melayu.

“Jadi pencen kena tarik kerana orang Melayu ramai dalam. Sedangkan kita tahu perkhidmatan awam itu sendi kepada kepimpinan politik. Orang politik fikir dan membuat dasar dan wawasan, yang melaksanakan kakitangan kerajaan ini.

“Nak gempur tak bolehkan buang sahaja, jadilah kontrak. Kontrak hari ini lantik, esok boleh buang,” katanya sambil berkata cadangan ini mesti ditolak.

Abdul Rahim berkata demikian pada Wacana Intelek bertajuk Pembangunan Ekonomi Bumiputera.

Beliau turut berpendapat cadangan pemansuhan pencen ini sebagai satu helah untuk mencacatkan penguasaan politik Melayu.

Penguasaan politik ini banyak melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN), cikgu melalui Kementerian Pendidikan.

Beliau berpendirian pendekatan ini digunakan untuk merosakkan perkhidmatan awam.

“Apa pasal dulu boleh beri? Kita ni kaya tetapi pentadbir ada sedikit tak pandai.

“Tak reti, tak kreatif, tak pandai. Saya fikir ini helah orang politik,” ujarnya.

Abdul Rahim berkata, jika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang pernah diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak diteruskan, kerajaan boleh menjana hasil lebih RM100 bilion.

Ini kerana, GST meraih cukai daripada setiap peringkat – pengeluar, pemborong dan peruncit tetapi kerajaan tidak mahu melaksanakannya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kabinet bersetuju perjawatan bagi kakitangan awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
-MalaysiaGazette