CANBERRA – Kemerosotan kesihatan mental golongan muda Australia menjadi ancaman kepada ekonomi dan sistem kesihatan awam negara ini.

Patrick McGorry, yang dinobatkan sebagai Australian of the Year pada 2010 atas khidmat kesihatan mental kepada belia berkata, Australia berada di tengah-tengah krisis kesihatan awam ekoran peningkatan kadar kemurungan, kebimbangan dan psikosis.

Kajian Kebangsaan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan 2020-22, yang diterbitkan Biro Statistik Australia pada Oktober 2023 menunjukkan sebanyak 38.8 peratus rakyat Australia berumur 16-24 telah mengalami gangguan kesihatan mental dalam tempoh 12 bulan yang lalu, meningkat daripada 26 peratus pada 2007.

McGorry yang juga Pengarah Badan Amal Perkhidmatan Kesihatan Mental Orygen memberitahu, pandemik Covid-19 mempercepatkan penurunan kesihatan mental.

Beliau berkata, Headspace, iaitu perkhidmatan kesihatan mental belia kebangsaan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 2006, sedang mendapat permintaan tinggi.

Malah, majikan-majikan juga semakin prihatin terhadap kesihatan mental pekerja muda.

“Jika masalah ini tidak ditangani, ia akan memberi kesan serta-merta kepada produktiviti.

“Tetapi ada kesan jangka panjang yang perlu kita atasi. Bukan hanya majikan, tetapi keseluruhan ekonomi, kata McGorry.

Data yang diterbitkan oleh Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia pada Julai 2023 mendedahkan bunuh diri adalah punca utama kematian dalam kalangan warga Australia berumur 15-24 tahun, menyumbang 36 peratus daripada semua kematian dalam kumpulan umur tersebut. – Agensi