GEORGE TOWN – Majlis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang digesa mencari pendekatan baru yang membolehkan graduan diberi suntikan ilmu tambahan serta dilatih dalam bidang tertentu mengikut keperluan dan permintaan pasaran.
Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Muhamad Farid Saad berkata, ia selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang serius mahu memperkasakan pengajaran TVET dalam negara.
Jelas beliau, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang mengukuh dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) dan semestinya memerlukan lebih ramai jurutera namun ramai graduan tetapi tidak memenuhi kriteria keperluan industri.
“Keseriusan kerajaan negeri Pulau Pinang diserlahkan dengan menamakan pulau hasil tambakan sebagai Silicon Island disamping dengan pembinaan kilang-kilang baru di kawasan perindustrian Batu Kawan.
“Sehubungan itu, kita rasa ini adalah masa yang sesuai untuk melihat kembali penglibatan orang-orang Melayu sebelum lebih terlambat. Ia susulan setelah lebih 50 tahun perindustrian di Bayan Lepas diwujudkan, tidak ada satu syarikat gergasi milik Bumiputera negeri ini yang wujud dan boleh dibanggakan.
“Malah, kebanyakkan syarikat besar tempatan (LLC) adalah milik kaum CiIna dan syarikat multinasional (MNC) juga mempunyai rakan kongsi dari kaum Cina,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Muhamad Farid yang juga Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang berkata, sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan dengan perancangan rapi dan berterusan, masa depan Bumiputera untuk memiliki kilang sendiri boleh tercapai.
“Sokongan LLC dan MNC sedia ada dapat memberi peluang kepada jurutera Bumiputera untuk membuka kilang mereka sendiri berdasarkan kepakaran dan kemampuan mereka akan memberi sinar baru kepada perkongsian kek ekonomi dalam sektor ini,” katanya. – MalaysiaGazette