ALOR GAJAH – Sebuah pasar mini di Masjid Tanah, di sini, dikompaun selepas didapati menjual tomato pada harga tidak munasabah iaitu RM15 bagi sekilogram selain tidak mempamerkan tanda harga.

Berikutan itu, kompoun On The Spot (KOTS) berjumlah RM200 dikeluarkan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri yang membuat serbuan di premis tersebut pagi tadi.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, serbuan dibuat selepas menerima aduan daripada pengguna dua hari lalu apabila dikenakan caj RM14.25 bagi pembelian enam biji tomato.

“Hasil serbuan pagi tadi, didapati pemilik premis tersebut gagal mempamerkan tanda harga bagi tomato, malah menjualnya pada harga RM15 sekilogram dan kita telah arahkannya meletakkan harga yang lebih munasabah.

“Hasil siasatan, pemilik premis memberi alasan tomato yang dijual di pasar raya tersebut adalah gred A dan harga dibeli dari pihak pembekal juga agak tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, peniaga berkenaan bagaimanapun akur selepas disarankan menurunkan harga tomato kepada RM8.99 sekilogram.

“Kita juga telah menasihatkannya untuk memperbaiki tanda harga supaya lebih jelas,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan kompaun terhadap pasar mini itu dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. – MalaysiaGazette