Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan penerbit filem Mentega Terbang untuk mengetepikan perintah larangan bersuara (gag order) yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret di sini pada 18 Januari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan perintah larangan oleh Mahkamah Majistret adalah tidak wajar dan boleh diketepikan oleh pemohon, Tan Meng Kheng.

Kata Muhammad Jamil, pendakwaan juga tidak mengemukakan adanya sebarang risiko atau adanya ancaman sehingga perlu diberikan perintah larangan sedemikian.

Sebaliknya beliau memutuskan andainya timbul isu subjudis maka tindakan sewajarnya boleh diambil pada masa hadapan.

Sebelum ini pada 17 Januari lepas, Majistret Aina Azahra Arifin mengenakan syarat tambahan iaitu perintah larangan selain jaminan RM6,500 terhadap Meng Kheng.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu.

Turut didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret berbeza ialah pengarah filem itu, Mohd Khairianwar Jailani mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengharamkan filem tersebut namun kedua-dua individu tersebut telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.

Dakwa mereka, tindakan itu melanggar hal kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mentega Terbang berkisarkan konflik agama yang dihadapi seorang remaja Islam yang bertindak mempelajari agama lain bagi persoalan hidup selepas mati.

Filem berdurasi 104 minit juga didakwa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai bertentangan dengan akidah serta kehidupan Islam beraliran Mazhab Syafie. -MalaysiaGazette