KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap peningkatan ketara bayaran maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini dapat meringankan beban para penerima.
Beliau yang juga Menteri Kewangan akur kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.
Menurut Anwar, Kerajaan Madani beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah.
“Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliay mengulas mengenai bayaran bagi Fasa 1 STR 2024 yang bermula hari ini di mana bayaran maksimum bagi isi rumah tahun ini ditingkatkan lebih daripada 66 peratus kepada RM500, ketimbang RM300 tahun lalu. – MalaysiaGazette