Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau bercakap pada Program Townhall Discussion Bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM di Bangunan Persatuan Hokkien Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JANUARI 2024.

KLANG – Sesi Town Hall Discussion Kesejahteraan Komuniti Kemakmuran Bersama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di sini menjadi panas apabila ada penduduk mengaitkan kes pecah rumah dengan tindakan wakil rakyat.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, insiden seorang pesara kerajaan yang berdepan kes pecah rumah lapan kali dalam tempoh 20 tahun mendakwa antara punca kejadian itu berlaku kerana banyak projek perumahan diluluskan wakil rakyat tanpa mengambil kira keselamatan penduduk sedia ada.

“Bila saya jumpa pihak berkuasa tempatan (PBT), perancangan bandar tak ambil kira keselamatan penduduk.

“Ia berbalik kepada Yang Berhormat (Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen) bila projek itu diluluskan,” katanya pada Sesi Town Hall di Persatuan Hokkien di sini hari ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau menepis dakwaan itu sambil mengatakan penjawat awam selalu menyalahkan wakil rakyat apabila timbul sesuatu isu.

“Ahli politik, ADUN dan ahli Parlimen tak terlibat dalam meluluskan projek (perumahan). Pegawai daerah (DO) yang sepatutnya dipersalahkan kerana mereka yang meluluskan projek perumahan ini, bukan wakil rakyat,” jelasnya.

Sesi dialog itu semakin panas apabila Mohd Shuhaily mempersoalkan tentang projek perumahan juga diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

“Exco terlibat dalam perancang bandarkan?” soalnya.

Bagaimanapun Ganabatirau menyalahkan PBT yang juga terlibat dalam kelulusan projek perumahan itu.

Mohd Shuhaily juga mempersoalkan lantikan ahli Majlis PBT apabila Ganabatirau menuding jari ke arah PBT.

“Pemilihan YDP (Yang Dipertua PBT) dan ahli-ahli majlis dibuat oleh siapa?” soalnya lagi.

Bagaimanapun Ganabatirau menegaskan sepanjang menggalas jawatan Exco Selangor, tiada kontroversi yang melibatkan nama beliau.

“Selama dua penggal saya jadi Exco, saya tak pernah ada salah laku dan kontroversi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast