KUALA LUMPUR – Polis akan menyerahkan kertas siasatan Himpunan Selamatkan Rakyat dan serahan memorandum di hadapan Istana Negara kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewat pada Rabu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah selesai merakam keterangan 15 individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kita akan siapkan siasatan kes ini selewat-lewatnya dalam minggu ini, kebanyakan keterangan sudah diambil polis termasuk kenyataan Chegu Bard,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada 23 Januari lalu, lebih 1,000 orang berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara, di sini, bagi membawa suara rakyat dalam himpunan Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara.
Himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.
Menurut Allaudeen, polis akan meneruskan proses merakam keterangan daripada enam lagi saksi awam pada hari ini dan esok.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (pemberitahuan perhimpunan).
Sementara itu, Allaudeen memberitahu, laporan polis yang dibuat pihak Istana Negara ke atas Chegu Bard berkaitan perhimpunan tersebut sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Akta Perhimpunan Aman 2012.
-MalaysiaGazette