Rahmad (dua dari kanan) menyantuni 211 calon SPM Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah hari ini.

ALOR GAJAH – Seramai 12,900 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di seluruh negeri ini menduduki peperiksaan bertulis bermula hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia melibatkan 74 buah sekolah dan 103 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah 12,900 itu, 11,128 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan dan 667 merupakan calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Terdapat juga 21 calon dari sekolah agama negeri, 242 (sekolah swasta) dan 842 calon persendirian manakala empat calon lain yang mempunyai masalah kesihatan terpaksa menjalani peperiksaan di hospital.

“Selain itu, terdapat 65 calon berkeperluan khas iaitu empat kurang daya penglihatan (rabun), sembilan kurang pendengaran (pekak, bisu) dan 52 lagi calon autisme dan kecacatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni 211 calon SPM Negeri Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Sebahagian daripada 211 calon SPM Melaka pada hari pertama peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Mengulas lanjut Rahmad, berkata, kerajaan juga sudah menyediakan bilik khas kepada calon yang mungkin dijangkiti Covid-19.

“Jadi mereka mereka masih digalakkan menduduki peperiksaan kerana akan ada sebuah bilik khas di setiap sekolah untuk mengasingkan pelajar yang dijangkiti Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast