Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melambai kepada rakyat yang memenuhi sepanjang bahu jalan sempena Lambaian Kasih dalam Istiadat Keberangkatan Tiba Sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 ke Istana Negara semasa di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2024.

JOHOR BAHRU – Ribuan rakyat jelata di negeri ini sanggup berbaris di bahu jalan seawal jam 6 pagi dari Istana Bukit Serene demi mengiringi keberangkatan Sultan Johor ke Istana Negara.

Perarakan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pagi ini membabitkan lapan laluan sejauh 35.5 kilometer.

Tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Pasir, Skudai, lebih 3,000 penduduk sekitar melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sambil mengibarkan bendera negeri Johor ketika ketibaan konvoi Diraja itu.

Baginda dilihat berkenan melambai mesra kepada rakyat ketika melalui jalan utama di laluan ketiga daripada lapan lokasi tumpuan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melambai kepada penduduk Kampung Pasir, Skudai. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2024.

Sultan Ibrahim kemudian menaiki pesawat peribadi dan mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.40 pagi.

Ketibaan baginda di lapangan terbang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara itu bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang genap lima tahun menamatkan pemerintahan semalam. – MalaysiaGazette