Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak yang akan bermula esok.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, penagguhan itu perlu sehingga kerangka besar pengambilan pegawai baharu bagi semua skim perkhidmatan dimuktamadkan sepenuhnya termasuk mendapatkan pandangan pemegang taruh.

Katanya, tindakan melaksanakan pengambilan pegawai baharu secara kontrak tanpa perancangan yang teliti untuk keseluruhan sistem perkhidmatan awam merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Sedarkah Kerajaan, esok adalah 1 Februari 2024, tarikh bermulanya lantikan pegawai baharu Kerajaan dibuat secara kontrak? Tapi, di mana kerangka besar berkaitan pelantikan pegawai baharu Kerajaan?

“Terlalu banyak persoalan berkaitan dengan perkara ini yang telah disentuh oleh pelbagai pihak. Namun tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah bekas Menteri Pendidikan itu, kerajaan seharusnya telah mempunyai satu kerangka yang komprehensif dan pendekatan pelaksanaan yang jelas.

Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat semasa membuat pilihan sama ada untuk berkhidmat sebagai penjawat awam atau sebaliknya dengan mengambil kira faedah semasa dan selepas perkhidmatan.

Pada 23 Januari lalu media melaporkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkaitan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak berkuatkuasa mulai 1 Februari 2024.

Dalam pekeliling tersebut dinyatakan ia adalah langkah awal sebelum satu kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan.

Keputusan tersebut dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023.

Beliau mendakwa, kenyataan balas kerajaan mengenai isu itu memperlihatkan kecelaruan dan berserabutnya proses penggubalan dasar pada hari ini. – MalaysiaGazette