JOHOR BAHRU – Di sebalik kegembiraan bangsa Johor melihat Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, namun tidak dinafikan ada juga yang berasa sebak.
Bagi salah seorang penduduk Kampung Pasir, Skudai yang ingin dikenali sebagai Makcik Habsah, dia hiba kerana terlepas melambai Sultan Ibrahim semasa keberangkatan baginda ke Istana Negara pagi tadi.
Namun ia tidak mematahkan semangatnya kerana banyak kenangan bersama baginda dapat diimbas kembali melalui program mesra rakyat sebelum ini.
Perkara sama dikongsikan suri rumah, Sarimah Mohd Tahir yang terlewat beberapa minit selepas konvoi Diraja itu melalui salah satu laluan daripada lapan lokasi tumpuan sejauh 35.5 kilometer.
“Walaupun tidak sempat melambai, saya tidak rasa kesal sebab saya sangat yakin dengan pemerintahan Sultan Ibrahim. Baginda berjiwa rakyat, sama seperti Agong sebelum ini. Moga terus dekat di hati kami, kami bangsa Johor sentiasa doakan yang terbaik untuk baginda memimpin negara ini,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai keperibadian Sultan Ibrahim, Zamani Mohammad yang merupakan anak jati Johor dan menetap di negeri itu lebih 55 tahun berkata, baginda dikenali sebagai raja berjiwa rakyat.
“Bagi saya baginda nampak agak tegas tapi sebenarnya penuh dengan kelembutan. Banyak aktiviti pihak istana bermula sejak dulu lagi menyantuni rakyat membuatkan kami semua rasa gembira. Hari ini menjadi detik bersejarah buat kami dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam masa sama, rata-rata rakyat berharap kepimpinan Sultan Ibrahim selama lima tahun ini mampu memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terjamin.
Sultan Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri, Istana Negara bagi tempoh lima tahun sebentar tadi.
Pada istiadat itu turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. – MalaysiaGazette