Salah sebuah bangunan di Sekolah Kebangsaan Senderut, Kuala Lipis dekat sini musnah dijilat api dalam kebakaran kira-kira pukul 10.29 malam tadi. - Gambar ihsan bomba.

KUANTAN – Salah sebuah bangunan di Sekolah Kebangsaan Senderut, Kuala Lipis dekat sini musnah dijilat api dalam kebakaran kira-kira pukul 10.29 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kakitangan sekolah terbabit berhubung kejadian.

Katanya, ketiadaan akses jalan ke lokasi telah mengakibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan dan BBP Raub sukar tiba lebih awal bagi mengawal kebakaran.

“Jentera dan pacuan empat roda bomba bersama sembilan anggota bomba dan pegawai dari BBP Sungai Koyan dan Raub dikejarkan ke lokasi yang terletak 47KM, namun mengambil masa 3 jam 17 minit kerana kesukaran akses jalan ke sekolah itu,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Jelas Zulfadli, kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian setelah ketibaan anggota bomba pada pukul 1.46 pagi namun bangunan berkeluasan 2,400 kaki persegi itu telah hangus dijilat api.

Beliau berkata, tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran yang melibatkan bilik tayangan sekolah jenis sementara itu dan api tidak merebak ke bangunan lain di sekolah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast