Keratan layar video yang dikongsi oleh pasangan pelancong di YouTube.

KUALA LUMPUR – Pasangan warga United Kingdom, Chris dan Marianne mengesahkan pihaknya telah dihubungi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Kedua-dua individu berkenaan telah memberikan kerjasama baik dan juga memberikan keseluruhan rakaman mengenai insiden berkenaan kepada PDRM.

“Kami mengesahkan telah berkomunikasi dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM. Kami telah memberikan kepada mereka rakaman video yang tidak diedit, tarikh, masa dan lokasi kejadian.

“Mereka (polis) telah meminta maaf dan mengesahkan mereka sedang menyiasat sepenuhnya kejadian ini,” kata pasangan tersebut di Facebook mereka, TREAD the Globe lewat petang tadi.

Sebelum ini PDRM telah menahan ream tiga anggota polis trafik Ibupejabat Polis Kontijen Perak direman selama tiga hari.

Ia ekoran tular video salah seorang daripada mereka didakwa menawarkan diskaun saman ketika ditahan di lokasi kejadian melibatkan pasangan warga United Kingdom berkenaan.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, anggota berusia antara 37 hingga 42 tahun itu dipercayai terbabit dalam video tular pada Ahad lalu di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Dalam pada itu, Chris dan Marianne juga berkata, tiada saman dikeluarkan oleh PDRM ekoran dakwaan memandu melebihi had laju pada hari berkenaan.

Mengulas lanjut, pasangan yang gemar memuatnaik video pengembaraan mereka di beberapa negara itu berkata, insiden berkenaan tidak memberi kesan kepada mereka.

“Secara peribadi, kami ingin menambah bahawa ini perkara ini tidak akan mempengaruhi kasih sayang kami terhadap Malaysia – Kami akan kembali!,” kata mereka.

Rakaman video pasangan warga asing itu disaman tular di media sosial dengan menunjukkan anggota trafik terbabit kononnya menawarkan diskaun saman kepada mereka selepas ditahan bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j sebelum mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota polis itu kemudiannya menawarkan diskaun saman berkenaan daripada RM300 menjadi RM100 jika dibayar terus kepadanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saman RM100: Mahkamah tolak permohonan lanjut reman tiga anggota trafik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast