KUALA LUMPUR – Kehadiran ikon bola sepak Inggeris, David Beckham pada program Adidas Bola Sepak Wanita Malaysia (AMGFP) menggamatkan suasana pelancarannya yang berlangsung di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara di sini, hari ini.
Beckham, 48, berada di ibu negara bagi melancarkan pameran ‘The World of The Predator’ yang memaparkan sejarah 30 tahun kasut bola sepak direka jenama sukan Adidas di pusat beli belah The Exchange TRX Mall,petang ini.
Terdahulu, beliau yang juga bekas bintang Manchester United meluangkan masa beramah mesra kira-kira sejam serta terlibat menjalani latihan bersama peserta yang menyertai program AMGFP itu.
Beliau turut memberikan kata-kata motivasi kepada peserta sebelum berbesar hati menandatangani autograf ke atas barangan seperti jersi, kasut bola selain sempat berswafoto bersama peminat yang hadir.
“Seronok berada di sini dan saya sangat teruja berada di Kuala Lumpur. Saya telah menjadi penyokong besar bola sepak wanita sejak saya berpindah ke Los Angeles (Amerika Syarikat),” katanya.
Semalam, ikon bola sepak Inggeris itu mencuri perhatian netizen apabila memuat naik gambarnya di laman rasmi Instagramnya dengan berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas di sini.
Hantaran tersebut sehingga kini meraih lebih sejuta tanda suka (likes). – BERNAMA