Sebahagian daripada 134 warga asing ditahan dalam sembilan serbuan berasingan di Kelemak dan Taman Desa Bertam, Melaka, tengah malam tadi.

MELAKA – Seorang lelaki warga Bangladesh hanya berseluar dalam dan menyorok di celah almari ketika dicekup Jabatan Imigresen Malaysia Melaka (JIM) di sebuah penempatan pekerja asing di sini tengah malam tadi.

Pengarah imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, lelaki berusia 25 tahun itu antara 134 warga asing ditahan dalam sembilan serbuan berasingan di Kelemak dan Taman Desa Bertam.

Pengarah Imigresen negeri Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun itu terdiri daripada 101 lelaki Bangladesh, 25 lelaki dan dua wanita Indonesia, Nepal (1) dan Myanmar (6).

Kesemua yang ditahan didapati melakukan kesalahan Akta Imigresen1959/63 (Akta 155)/Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat segelintir warga asing di penempatan yang padat dan kotor itu cuba melarikan diri termasuk seorang lelaki Bangladesh berusia 25 tahun  bersembunyi di celah kayu dan almari.

“Bagaimanapun usahanya yang hanya berseluar dalam itu gagal apabila berjaya ditahan anggota penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada 134 warga asing ditahan dalam sembilan serbuan berasingan di Kelemak dan Taman Desa Bertam, Melaka, tengah malam tadi.

Tambah Anirwan Fauzee, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan yang menimbulkan rasa tidak selamat dan mengganggu keselesaan penduduk setempat.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu dan lain-lain kesalahan.

“Kesemua yang ditahan akan dihantar ke Depot Imigresen Machap Umboo dan JIM akan mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, sebanyak enam saman kepada saksi juga telah dikeluarkan untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette