KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menggariskan lima fokus utama untuk tahun 2024 selari dengan fokus dan hala tuju yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun ini.
Selain itu pihaknya turut menggariskan 11 keutamaan yang akan direncanakan secara jelas dan strategik.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, selain itu pihaknya turut menggariskan 11 keutamaan lima fokus utama itu adalah memperkasa kompetensi berasaskan industri; meneroka translational research; memperhebat program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Bagi fokus keempat pula adalah untuk mempergiat pengantarabangsaan dan terakhir untuk mengupayakan ekosistem pemboleh daya TVET POLYCC,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2024, baru-baru ini.
Mohd Zahari berkata, terdapat empat keutamaan yang ditetapkan melalui fokus pertama untuk mencapai sasaran memperlengkapkan graduan POLYCC dengan set kemahiran dan kompetensi terkini yang diperlukan oleh industri merangkumi Work-Based Learning (WBL) dan Structured Internship Programme (SIP); Reskilling and Upskilling pekerja industri; kemahiran industri pensyarah serta pembentukan atribut pelajar.
“Saya percaya kita sudah cukup pengalaman dalam mengendalikan WBL yang mana penawaran tujuh program peringkat ijazah sarjana muda dan tujuh program peringkat diploma bagi mod WBL dilaksanakan dengan jayanya.
“Begitu juga SIP, sehingga kini politeknik telah bekerjasama dengan 25 industri bagi menjalankan SIP. Seramai 6,142 graduan telah menyertai program ini di mana seramai 1,673 orang daripadanya telah ditawarkan bekerja,” katanya.
Mohd Zahari menambah, pada tahun ini pihaknya mensasarkan lebih banyak penglibatan industri dalam pelaksanaan WBL dan SIP tersebut.
“Ketiga pula Reskilling and Upskilling Pekerja Industri turut akan diperluas bagi meningkatkan kemahiran serta kompetensi pekerja industri terutamanya dalam aspek yang dilihat ketinggalan susulan revolusi serta anjakan teknologi,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Zahari berkata, rancangan penubuhan dan pengoperasian Reskilling and Upskilling Centre (RUC) di 16 buah politeknik perlu diteliti supaya peranannya lebih jelas.
RUC bakal menawarkan pakej program latihan kepada pihak industri menggunakan pendekatan Time Sector Privatisation (TSP) yang mana projek rintis ini bakal melibatkan seramai 3,000 pekerja industri yang akan dilatih secara berperingkat.
Antara keutamaan lain adalah program latihan dan pensijilan profesional yang berorientasikan industri; pembentukan atribut pelajar di mana generasi kini telah menjadi digital natives; meneroka translational research; memperhebat program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui penawaran pelbagai program microcredentials bersifat jangka pendek bagi membolehkan sesiapa sahaja di luar sana menambah kelayakan diri; melaksanakan Program Mobiliti Inbound untuk menambahbaik pengurusan pelajar antarabangsa di politeknik; membangunkan beberapa model untuk draf Rang Undang-Undang (RUU) bagi politeknik dan kolej komuniti serta mempraktikkan Lean Quality Management System agar sistem pengurusan dan pengoperasian menjadi lebih cekap dan berkesan.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Ulaimi Yahya berkata, aspirasi ketua pengarah untuk menjadikan POLYCC sebagai pemacu tenaga mahir dalam negara perlu dihayati dan dipacu sebaiknya selaras dengan lima fokus serta 20 landasan hala tuju KPT 2024 yang telah diumumkan oleh Menteri KPT.
Berasaskan konsep Isomorphic Mimicry, pendekatan pelan tindakan PIS adalah selari dengan pelan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030.
“Saya bersama pasukan PIS telah pun membangunkan Pelan Strategik PIS selaras hala tuju KPT dan Pelan Transformasi Politeknik 2.0. Kita telah merangka KPI dan aktiviti yang menekankan 13 agenda pembaharuan kritkal (CRA), dan inisiatif-inisiatif pembaharuan berstrategik melalui 18 objektif dalam melaksanakan project high impact,” katanya.- MalaysiaGazette