Fadhlina (tengah) menyerahkan mock cek BAP Pulau Pinang kepada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menjangkakan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP 2024) di semua sekolah di seluruh negara dengan peruntukan lebih RM788 juta selesai minggu hadapan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program penyerahan membabitkan lima juta pelajar di seluruh negara sedang giat dijalankan ketika ini.

“Sebentar tadi (hari ini) bantuan penyerahan (BAP) menyaksikan sumbangan kerajaan madani untuk negeri Pulau Pinang membabitkan peruntukan lebih RM30 juta untuk diserahkan kepada lima PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).

Fadhlina Sidek.

“Peruntukan program ini keseluruhan membabitkan peruntukan lebih RM788 juta untuk lima juta pelajar yang mana program ini sedang berjalan di seluruh negara dan dijangka selesai pada 11 Februari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sesi Libat Urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Cek BAP Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan Fadhlina sekali lagi menegaskan pihak sekolah tidak boleh memotong wang BAP meskipun ia untuk bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Soal bayaran PIBG adalah perkara lain dan wang BAP itu adalah sepenuhnya untuk ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

“Sekiranya masih ada ibu bapa yang tidak menerima bayaran penuh bantuan RM150 daripada pihak sekolah diminta melaporkan perkara itu kepada KPM dan kita akan jalankan siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat rungutan daripada ibu bapa apabila wang bantuan berkenaan dipotong pihak sekolah untuk bayaran tertentu.

Ia susukan perkongsian seorang individu di media sosial yang mendakwa anaknya hanya menerima RM50 daripada pihak sekolah ketika proses pengagihan bantuan terbabit. – MalaysiaGazette