KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Bangladesh nekad bersembunyi lebih dua jam di dalam longkang sebelum ditahan Jabatan Imigresen dalam Operasi Bersepadu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini yang dijalankan bermula pukul 3 pagi tadi.
Seorang daripada lelaki itu berkata, dia takut dengan kehadiran anggota imigresen dan agensi keselamatan lain lalu melarikan diri sebelum mengambil keputusan melompat ke dalam longkang terbabit.
Ketika pemeriksaan, seorang daripada mereka memiliki pasport namun permit kerja tamat tempoh dan hanya terhad untuk bekerja dalam sektor pembinaan.
Manakala seorang lagi mempunyai dokumen pendaftaran program rekalibrasi (program khas meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan tertakluk kepada syarat-syarat ketat).
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin yang menyertai operasi itu berkata, pihaknya memeriksa 530 warga asing terdiri daripada 504 lelaki dan 26 wanita.
“Daripada jumlah itu, warga Myanmar paling ramai diperiksa dengan 277 orang, Bangladesh (94), India (72), Indonesia (39), Nepal (15), Sri Lanka (sembilan), Pakistan (enam) dan seorang warga Vietnam.
“Kesemua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal lebih masa,” katanya.
Jumlah keseluruhan pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu masih belum dapat disahkan susulan pihak imigresen masih lagi menyemak dokumentasi setiap orang yang ditahan.
Operasi yang berakhir pukul 6 pagi itu turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Difahamkan, pendatang tanpa izin yang ditahan itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor dan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih. – MalaysiaGazette