default

KUALA LUMPUR – Kapal Atosa 01 yang hanyut dari kawasan labuhan Kemaman di Pantai Chendor Kuantan pada 30 Januari lalu adalah berpunca akibat tali sauh kapal tersebut yang terputus ekoran cuaca buruk.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kapal itu merupakan kapal kargo kering yang berdaftar di Freetown, Sierra Leone.

Jelas beliau, semasa kejadian, tiada sebarang kargo atau muatan di atas kapal namun, masih terdapat lebih kurang 18 tan minyak diesel yang berpotensi menyebabkan berlakunya tumpahan minyak.

“Tiga orang kru kapal yang masih berada di atas kapal semasa kejadian telah terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.

“Pasukan penyiasat JAS (Jabatan Alam Sekitar) telah ke lokasi kapal pada hari yang sama dan menjalankan penilaian melalui darat dan udara menggunakan dron.

Kapal Atosa 01 yang hanyut dari kawasan labuhan Kemaman di Pantai Chendor Kuantan pada 30 Januari. Gambar: Ihsan NRES

“JAS juga telah menghubungi Pejabat Laut Wilayah Timur untuk melaksanakan langkah kawalan bagi mengelakkan kebocoran atau limpahan minyak berlaku. Sehingga ke hari ini melalui pemantauan berterusan didapati tiada sebarang pencemaran berlaku berikutan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata, status kapal itu juga adalah dalam tahanan Jabatan Laut Wilayah Timur melalui Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Oktober tahun lepas.

JAS telah meminta Jabatan Laut Malaysia untuk menunda kapal tersebut ke kawasan labuhan Kemaman dan oil boom perlu dipasang sebagai langkah kawalan pencemaran minyak sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, hasil siasatan kemalangan maut melibatkan seorang pekerja asing di tapak lombong Bukit Perangin, Mukim Temin, Daerah Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini mendapati, tiada sebarang papan tanda keselamatan atau peringatan diletakkan berhampiran kawasan kejadian.

Rakaman saksi utama kejadian juga memaklumkan bahawa pekerja-pekerja telah mengingkari arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan agar menjalankan kerja di kawasan yang telah ditetapkan.

“Lawatan susulan melalui dron mendapati terdapat banyak retakan pada struktur batuan yang boleh menyebabkan runtuhan dan kawasan kerja masih dikategori sebagai tidak selamat.

“Dalam hal ini, segala kerja dalam kawasan lombong telah diarah untuk dihentikan merujuk kepada Seksyen 21(2) Akta Pembangunan Mineral 1994.

“Selain itu, arahan juga telah dikeluarkan agar kesemua akses masuk ke kawasan kejadian ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan,” ujarnya.

Tambah beliau, surat arahan henti tugas juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains pada 1 Februari lepas.

“Pemegang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) telah diarah untuk mengemukakan laporan lengkap kemalangan maut, kajian semula Pelan Pengurusan Keselamatan dan Laporan Penilaian Kestabilan Cerun dan Mitigasi untuk pertimbangan lanjut JMG dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,” jelasnya.

Tegas beliau, pihaknya sentiasa memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya yang melibatkan pekerja, orang awam dan harta benda.

Pihak majikan juga katanya, diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mematuhi segenap aspek keselamatan di tempat kerja serta mematuhi Akta Pembangunan Mineral 1994 yang berkuatkuasa. – MalaysiaGazette