KUALA LUMPUR – Sebuah rumah hampir ranap susulan kejadian tanah runtuh bersebelahan kediaman itu di Taman Bukit Pantai, Bangsar di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 10.45 pagi tadi.
Katanya, sejurus mendapat maklumat itu sepasukan anggota dari Balai Bomba Pantai dan Seputeh digegaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, terdapat kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan terbabit.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, runtuhan tanah berkemungkinan daripada kebocoran saliran air kolam renang unit rumah yang terletak di atas,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kerja-kerja membersih dan mengosongkan sisa air kolam renang turut dilakukan oleh pasukan bomba bagi mengelak tanah menjadi semakin lembap dan berpotensi untuk berlakunya pergerakan hakisan tanah.
Bagaimanapun katanya, tiada mangsa yang terperangkap dalam kejadian itu dan bomba menyerahkan kes tersebut kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan kontraktor rumah untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette