NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mewujudkan pasukan khas (task force) bagi menyelaraskan semula sistem pendidikan pra sekolah di bawah kementerian itu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, gerakan itu disegerakan seiring dengan agenda reformasi pendidikan untuk memastikan kurikulum dan isu-isu berkaitan prasekolah termasuk silibus pembelajaran diselaraskan.

“Jadi, awal ini mesyuarat jawatankuasa special task force ini sudah berlangsung dan kita akan maklumkan dari masa ke semasa perkembangan apa yg telah pun kita jayakan dalam konteks untuk prasekolah ini.

“Antara lain ialah termasuk juga peluasan prasekolah yang juga kita akan kita bincangkan, kemudian dari segi kualiti pendidikan pra sekolah itu sendiri yang juga pasti menjadi sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan untuk menjayakan isu pra sekolah,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sesi Libat Urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Cek BAP Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Media pada 24 Januari lalu melaporkan, Jemaah Menteri memutuskan sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.

Menteri Komunikasi dan juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ia susulan Jemaah Menteri mendapati wujud kualiti pendidikan prasekolah yang pelbagai di seluruh negara justeru, ia harus diselaraskan.

“Kita lihat ada pendidikan prasekolah yang agak pelbagai malah, ada kadangkala kami terima aduan daripada ibu bapa mengenai kualiti pendidikan berbeza.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin pastikan pendidikan prasekolah yang disediakan kepada rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah adalah yang berkualiti dan kurikulumnya diselaraskan,” katanya. – MalaysiaGazette