Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara yang hadir pada Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn di WTC, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 03 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan berputus asa untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, ini kerana proses perbicaraan kes rasuah ke atas bekas perdana mMenteri itu tidak dijalankan dengan seadilnya.

“UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

“UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara.

“UMNO juga berpegang kepada keputusan PAU2023 yang mahukan usaha pembelaan Datuk Seri Najib diteruskan,” katanya MKT UMNO dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Khas MKT hampir empat jam di Menara Dato’ Onn, di sini.

Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengumumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028.

Dalam pada itu, walaupun UMNO akan meneruskan usaha pembelaan ke atas Najib, namun parti itu menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil Al-Sultan Abdullah dalam membuat keputusan itu.

“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.

“Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, perdana menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast