KUALA LUMPUR – UMNO menerima keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan berkaitan bekas presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO perlu akur dan mesti bergerak ke hadapan dalam memperkuatkan parti menjelang pilihan raya umum 2027.
Perkara tersebut dibincangkan dalam Pertemuan Tertutup antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin dari 191 bahagian UMNO seluruh negara di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
“(Pertemuan) Mengenai keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan. Itu sahaja. Kita kena terima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
“Kita sebagai ahli UMNO kena akur dengan keputusan dan kita move on kuatkan balik parti, kita tunjukkan kepada masyarakat bahwa UMNO akan terus bekerjasama dan bergerak dan kita boleh baik pulih kita punya parti menjelang 2027,” katanya yang ditemui selepas pertemuan selesai.
Ditanya sama ada UMNO akan membuat rayuan keputusan Lembaga Pengampunan, Johari berkata, perkara tersebut tidak disebutkan dalam pertemuan berkenaan.
Turut hadir dalam pertemuan tertutup itu adalah anak perempuan Najib, Noryana Najwa dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat lalu mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022.
Ia sekali gus menyaksikan Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029. – MalaysiaGazette