10 polis sudah dipindahkan, siasatan menjurus dari mana datang wang RM3,753

PUCHONG – Seramai 10  termasuk seorang pegawai polis trafik sebuah daerah di Selangor yang disiasat berhubung penemuan wang tunai RM3,753 dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan sekatan jalan Op Alkohol telah dikeluarkan daripada penugasan penguat kuasa tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka melibatkan seorang pegawai berpangkat Inspektor dan sembilan anggota lain-lain pangkat sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel kini dipindahkan ke bahagian pentadbiran.

Jelas beliau, siasatan dalaman yang dijalankan akan menjurus sama ada wang yang ditemui itu daripada sumber sah atau sebaliknya.

“Yang itu tindakan dalaman, yang saya sebut juga semalam di mana kita buat penguatkuasa dan pematuhan SOP (prosedur standard operasi) PDRM sendiri supaya pasukan atau anggota yang terlibat dalam operasi undang-undang sama ada di jalan raya atau operasi jenayah mematuhi SOP.

“Jadi anggota yang berada dalam penugasan ini ada jumlah wang yang boleh bawa dan sekiranya mereka bawa lebih daripada yang dibenarkan, perlu diisytihar sebelum bertugas.

“Sekiranya mereka tidak isytihar, dan bila kita buat pemeriksaan ada jumlah wang yang besar, yang ini kita kena siasat dari mana datang duit itu.

“Jadi kes ini masih dalam siasatan sama ada duit sendiri dari sumber sah atau benda negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Advokasi Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Bukit Puchong Selatan, Lebuhraya Damansara Puchong di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini kes membabitkan 10 anggota polis trafik Selangor itu. mereka ketika menjalankan sekatan jalan Op Alkohol, awal pagi semalam.

Semalam ketika mengesahkan perkara itu kepada media, Hussein berkata, satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah atau sebaliknya.

Siasatan itu susulan hasil pemeriksaan pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman ke atas polis trafik yang terlibat menjalankan Op Alkohol pada jam 2.30 pagi itu.

Terdahulu, tular di media sosial satu laporan polis berhubung kes itu dan mengesyaki wang tunai yang ditemui itu berpunca daripada sumber tidak sah. – MalaysiaGazette