GENEVA – Sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak di Gaza hidup bersendirian daripada keluarga sama ada disebabkan kematian ibu bapa atau penjaga atau terpisah akibat perang.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, mereka adalah sebahagian daripada 1.7 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Setiap satu ada kisah yang menyayat hati tentang kehilangan dan kesedihan,” katanya dalam laporan yang diterbitkan dalam laman web.
Tambahnya, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di wilayah Palestin melaporkan hampir semua kanak-kanak Gaza memerlukan sokongan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS) iaitu dua kali lebih ramai berbanding anggaran sebelum perang.
UNICEF menyatakan satu-satunya cara untuk memberikan sokongan MHPSS kepada kanak-kanak terbabit adalah dengan melaksanakan gencatan senjata.
Pada tahun 2022, kluster perlindungan kanak-kanak yang diketuai oleh UNICEF memberikan sokongan ini kepada hampir 100,000 kanak-kanak.
Sementara itu, 127 lagi rakyat Palestin kehilangan nyawa dalam tempoh 24 jam lalu dengan jumlah kematian meningkat kepada 27,365 manakala mereka yang cedera kini mencecah 66,630 orang.
Berikut adalah antara insiden pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel antara 2 dan 4 Februari:
Pada 2 Februari, kira-kira pukul 2 petang, lapan rakyat Palestin dilaporkan terbunuh selepas bangunan kediaman di barat Khan Younis dibom.
Pada 2 Februari, kira-kira pukul 2.20 petang, empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di An Nemsawi, selatan Khan Younis, selepas peluru kereta kebal dilaporkan dilepaskan ke arah sekumpulan penduduk.
Pada 3 Februari, kira-kira 12.10 pagi sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, dan 27 yang lain cedera, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua selepas sebuah bangunan kediaman berhampiran hospital An Najjar di timur Rafah diserang.
Pada 3 Februari, kira-kira 1.15 pagi empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh selepas sebuah bangunan kediaman di timur Rafah diserang.
Pada 3 Februari, kira-kira jam 4.20 petang sebuah bangunan kediaman di Bani Suheila, timur Khan Younis telah diserang.
Lebih 20 rakyat Palestin dilaporkan masih berada di bawah runtuhan kerana ambulans dan krew pertahanan awam tidak dapat mennyelamatkan mereka kerana pertempuran berterusan.
Pada 3 Februari, kira-kira jam 4.45 petang, lima rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, dilaporkan terbunuh dan 13 yang lain cedera selepas sebuah bangunan kediaman di timur bandar Rafah diserang.- Agensi