KUALA LUMPUR – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat malam ini akur akan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, mesyuarat menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Dewan Tertinggi mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata dewan tersebut dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada Sabtu bersetuju meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas presiden parti itu.
Menerusi satu kenyataan, MKT juga bersetuju agar pembelaan tersebut disesuaikan dengan laras undang-undang negara.
Kenyataan itu juga menyebut, MKT terus berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan ke atas Najib.
Jumaat lalu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata, bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun keenam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette