KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mengesa Kementerian Sumber Manusia dan agensi terlibat meneliti semula akta kerja sedia ada yang sepatutnya memberi hak perlindungan kepada kaum pekerja.

“Kami juga mengesa Menteri Sumber Manusia, Sim Chee Keong agar melihat semula masalah masalah yang masih dihadapi oleh kaum pekerja yang sepatutnya mendapat keadilan dan perlindungan dari majikan yang tidak langsung mahu membayar gaji tunggak atau pampasan kepada pekerja.

“Isu ini amat membingungkan ramai kaum pekerja,” kata Sekretariat NUFAM dalam kenyataan hari ini.

Isu itu telah dibangkitkan banyak kali kepada kerajaan atas kelemahan yang terletak di dalam akta yang sedia ada.

Menurut kenyataan itu, keadilan yang dituntut oleh pekerja amatlah merunsingkan ramai pihak di mana mereka yang bekerja dalam industri penerbangan telah terjejas.

“Masih ramai tidak mendapat hak keadilan yang sepatutnya diterima. Ramai pekerja yang terjejas dengan tindakan yang telah diambil oleh syarikat mereka atas sikap tidak memperdulikan perintah mahkamah.

“Ada syarikat yang langsung tidak bertanggungjawab untuk membayar gaji tunggakan atau pampasan pekerja setelah ada perintah mahkamah diperoleh,” katanya sambil menambah ramai antara golongan yang terjejas ini adalah kru kabin, juruterbang pesawat, jurutera dan sebagainya.

Apabila kes mereka dibawa ke pihak JTK dan Mahkamah Perusahan untuk mendengar kes pekerja, hanya award dikeluarkan namun tiada apa apa susulan tindakan akan diambil terhadap majikan yang tidak mahu membayar pampasan.

Apabila syarikat itu pula tutup, mereka pun akan lari dari membuat bayaran pampasan tersebut kepada pekerja.

Sudah tiba masanya kementerian yang bertanggung jawab meniliti semula undang undang yang agak lemah dan langsung tidak memberi keutamaan kepada hak pekerja untuk mempastikan bayaran pampasan untuk pekerja itu dibayar sepenuhnya kepada pekerja tersebut, katanya.

“Sepatutnya majikan membayar dalam masa 30 hari setelah perintah dikeluarkan oleh Mahkamah tapi ada yang tidak memperdulikan langsung perintah tersebut.

“Jadi, bagaimana pekerja yang terjejas ini mendapat keyakinan atas hal perlindungan pekerjaan mereka?

“Sudahlah mereka kehilangan pekerja,ditambah dengan masalah hutang yang perlu dibayar, ada pula majikan yang tidak langsung memperdulikan perintah ini,” kata kenyataan itu.

Ramai pekerja dalam industri penerbangan telah sekian lama terjejas dengan masalah ini dan yang terkini adalah pekerja dari syarikat MyAirlines.

Sehingga hari ini ramai antara pekerja yang terjejas ini tidak mendapat sebarang bayaran bayaran atau pampasan yang sepatutnya dibayarkan oleh majikan pekerja.

“Ada yang terpaksa naik turun Mahkamah bertahun lama atas tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh majikan yang mahu lawan hak yang dituntut oleh pekerja yang telah dihentikan.

“Apabila majikan buat tidak peduli,apa yang akan terjadi kepada pekerja? Hidup mereka ini akan bertambah susah dan ada pula yang menghadapi kesan segi mental,” katanya.

Dengan itu, NUFAM mengesa agar pihak yang bertanggung jawab mengambil sikap lebih prihatin dan bertindak pantas bagi melindungi hak pekerja ini.

Ia sama sekali telah memberi impak negatif kepada ramai pekerja kerana terpaksa menanggung masalah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast