KUANTAN – Kerajaan Pahang mengarahkan agar kerja-kerja berkaitan projek pembentungan sekitar bandar raya itu diselesaikan selewat-lewatnya hujung April depan.
Sekiranya ia gagal, kontraktor akan dikenakan denda RM100,000 bagi setiap sehari yang diambil selepas tempoh tersebut.
Menurut Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang, projek yang tidak selesai sejak 2018 itu telah mendatangkan gangguan dan berisiko kepada pengguna jalan raya.
“Kita minta mereka turap dan siapkan segera dan sediakan pengawal lalu lintas di sekitar kawasan terlibat bagi mengurangkan risiko bahaya kepada pengguna.
“Lubang-lubang yang mendap memang kena baiki segera, kita bagi tempoh sehingga 30 April depan untuk pihak kontraktor menyiapkan kerja-kerja berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di beberapa tapak projek pembentungan di sekitar Jalan Teluk Sisek.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Jalur Cahaya, Razali Mohamed.
Difahamkan, projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di bandar Kuantan melibatkan kawasan sejauh 70 kilometer bermula dari Teluk Cempedak sehingga Kempadang dan Sungai Soi telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor Jalur Cahaya Sdn Bhd sejak 2018 dan ia masih berjalan sehingga sekarang.
Ditanya mengenai punca projek itu lewat disiapkan, Chon Siang memberitahu, terdapat beberapa lokasi yang bermasalah akibat aliran bawah tanah yang terlalu laju.
“Untuk pembetungan, kita perlu gali antara 10 hingga 15 meter dan keadaan tanah di sekitar Kuantan ini memang ada aliran air bawah tanah.
“Jadi, bila ada air, kerja terpaksa dihentikan kerana jika kita ganggu atau terus mengorek tanah itu, memang akan mengakibatkan mendapan lebih teruk. Tapi, kita akan pastikan semua boleh disiapkan April ini,” katanya.
Dia turut memberi jaminan semua bangunan rosak atau struktur yang retak susulan kerja dilakukan pihaknya akan dibaiki dan kos ditanggung pihaknya.
Sebagai rekod, projek pembetungan Kuantan yang bernilai RM570 juta itu bertujuan meningkatkan taraf perkhidmatan pembetungan dan menambah baik kualiti alam sekitar, bermula pada Februari 2018 dengan jangkaan awal siap pada Februari 2022. – MalaysiaGazette