Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching hadir pada sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk Lembaga Pengampunan memberikan justifikasi berhubung keputusannya mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada komen dan kenyataan dibuat lembaga berkenaan.

“Lazimnya Lembaga Pengampunan tidak memberikan apa-apa komen atau kenyataan. Kalau kita lihat sebelum ini, belum pernah ada (sebarang justifikasi),” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Fahmi yang merupakan Menteri Komunikasi berkata demikian bagi mengulas pertanyaan wartawan mengenai gesaan supaya Lembaga Pengampunan mendedah justifikasi mengurangkan hukuman terhadap Najib.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya semua kritikan dan kecaman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman terhadap Najib dihentikan.

Anwar turut meminta keputusan itu dihormati kerana ia bukan sahaja dibuat berlandaskan undang-undang, malah atas belas ihsan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Lembaga Pengampunan minggu lalu memberikan pengurangan 50 peratus bagi tempoh hukuman penjara dan denda yang perlu dibayar oleh Najib.

Najib, 70, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri. – MalaysiaGazette