Fuziah Salleh

KUANTAN – Seramai 2,200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) terlibat dalam pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)Tahun Baru Cina 2024 di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata daripada jumlah itu, 137 peguatkuasa KPDN Pahang akan turun padang bagi memantau bekalan makanan, harga barang dan membanteras aktiviti pencatutan.

Manakala katanya 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN di seluruh negara telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sempena SHMMP yang berkuat kuasa bermula 6 Februari sehingga 14 Februari 2024.

”Pelaksanaan penugasan di lapangan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

”Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

”Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya selepas mengadakan tinjauan di sebuah pasaraya di sini, hari ini.

Menurutnya bagi kesalahan individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal membabitkan individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barang di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sehingga kini katanya, tiada kes dikesan oleh pihak penguatkuasaan melibatkan 11 jenis barangan yang diwartakan itu sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu.

Dalam perkembangan sama katanya, SHMMP Tahun Baru Cina 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

Jelasnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bekerjasama bagi melakukan pemantauan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi.- MalaysiaGazette