ALOR SETAR – Legenda bola sepak negara Mohd Azraai Khor Abdullah disahkan meninggal dunia selepas diserang strok, hari ini.
Berita sedih itu disahkan oleh anak bekas Ketua Jurulatih pasukan Kedah bagi musim 2004 hingga 2009 itu, Firdaus Zainuddin menerusi satu hantaran di laman Facebooknya tengah hari tadi.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat bapa saya Mohd Azraai Khor yang telah meninggal dunia sebentar tadi. Mohon sama-sama kita berdoa agar Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Aamiin.
“Semoga rohnya dilimpahi dengan belas kasihan dari Allah Azawajalla dan semoga Allah mengangkat darjatnya bersama-sama dengan hambanya yang soleh,” katanya.
Jenazah Mohd Azraai ketika ini masih berada di sebuah hospital swasta di sini, dan difahamkan akan dibawa balik ke rumahnya di Kampung Alor Semadom sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Uda di sini, selepas solat asar.
Allahyarham yang nama asalnya Khor Sek Leng merupakan bekas pemain Kedah era 1970-an dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978.
Selain itu, Allahyarham juga berjaya membawa Kedah muncul juara ‘double treble’ pada 2007 dan 2008, selain pernah membimbing beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010. – BERNAMA