Timbalan Perdana Menteri, merasmikan Peluncuran Lawatan Bahang Bay ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bulan Februari 2024 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 08 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kakitangan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) digesa untuk memberikan kerjasama kepada pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga 2 Februari lalu hanya 33 peratus sahaja kakitangan kementerian itu yang mendaftar sistem berkenaan.

“Sehingga 2 Februari, sebanyak 8,173, atau bersamaan 33.4 peratus profil telah didaftarkan dalam Sistem PADU daripada keseluruhan 24,471 jumlah perjawatan sedia di bawah KKDW dan agensi di bawahnya.  

“Saya tekankan mengenai perkara ini kerana perdana menteri semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bulan lalu telah meminta supaya semua penjawat awam mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU selewat-lewatnya sebelum 15 Februari 2024.

“Saya mahukan seluruh warga KKDW memberikan kerjasama dan menterjemahkan kebersamaan kita di dalam setiap inisiatif kerajaan dengan menyegerakan pengemaskinian dalam sistem PADU,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bulan Februari 2024 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.

Dalam sidang medianya, Ahmad Zahid berkata, terdapat kerisauan daripada kalangan kakitangan kementerian bahawa butiran peribadi tidak dirahsiakan.

“Mungkin kesedaran belum sampai lagi. Ada juga merasakan bahawa butir-butir peribadi itu tidak dirahsiakan.

“Tetapi kita mempunyai jalan tertentu supaya semua dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memberitahu hanya 2.69 juta rakyat negara ini sudah membuat kemas kini maklumat dalam sistem PADU sejak dilancarkan 2 Januari lalu.

Mohd Uzir berkata, sistem PADU mempunyai 30 juta nama penduduk dan perlu membuat pengesahan dan kemas kini maklumat masing-masing sehingga 31 Mac ini. – MalaysiaGazette