Ahmad Sukarno bersama pasukan Komersil menunjukkan kejayaan rampasan sindiket menawarkan pekerjaan tidak wujud mensasarkan mangsa warga UK berjaya ditumpaskan 6 Februari lalu dalam sidang media di IPD Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Sentul menumpaskan sindiket tawaran kerja tidak wujud yang mensasarkan warga United Kingdom (UK) selepas melakukan serbuan di dua unit kondominium di Taman Wahyu, Jinjang di sini pada 6 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pasukannya menahan lapan warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 16 hingga 28 tahun.

Menurutnya, sindiket itu giat aktif menipu tawaran kerja tidak wujud itu sejak awal tahun ini dan mengaut keuntungan AS$3,000 sehari.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi menghantar pesanan ringkas secara rawak menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan iklan pekerjaan dalam talian kepada rakyat UK menggunakan nombor telefon negara tersebut.

“Setelah mangsa membalas dan menyatakan berminat dengan tawaran kerja, mangsa diminta oleh sindket untuk mendaftar akaun di pautan GlobaesailorV88′.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk menyelesaikan tugasan seperti ‘like‘ iklan-iklan bagi pakej percutian dengan pembayaran deposit dalam mata wang kripto USDT,” katanya di sini hari ini.

Siasatan lanjut juga mendapati mangsa ditawarkan komisen sebanyak 0.5 hingga 5 peratus bagi setiap tugasan yang berjaya sebelum sindiket itu akan memberikan resit yang telah diubahsuai untuk meyakinkan mangsa pembayaran komisen telah dibuat seperti dijanjikan.

Kegiatan penipuan ini mengaut keuntungan pada kadar sekitar AS$3,000 dolar sehari sejak aktif awal tahun ini yang kini dianggarkan mencecah AS$114,000.

Semua suspek telah dihadapkan ke mahkamah dan direman selama empat hari sehingga 10 Februari ini bagi membantut polis.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan kesalahan penipuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast