Ketika Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN), baru-baru ini.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN) baru ini bagi melahirkan petani moden sambil membekalkan ilmu perniagaan tani kepada golongan B40.

Tenaga pengajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Prof. Dr. Rozanah Ab Rahman berkata, program itu adalah kerjasama UPM dan Kementerian Ekonomi untuk meningkatkan pendapatan golongan tersebut melalui pertanian berteknologi tinggi.

“Program ini sejajar dengan hasrat negara untuk memperkukuhkan bekalan makanan negara yang kini kian meruncing atas faktor larangan eksport di sesetengah negara.

“Sungguhpun program ini memberi fokus mengenai pertanian dan akuakultur, namun peserta turut diterapkan ilmu perniagaantani dalam membantu pasaran produk secara berkesan dan betul di masa depan.

“Penyampaian ilmu keusahawan yang digarapkan dalam program ini adalah secara keseluruhan untuk membina minda perniagaan peserta secara dinamik,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengajaran asas perniagaan itu adalah penting untuk memulakan perniagaan kerana ia menyentuh hal ehwal perniagaan serta persediaan untuk membawa hasil tanaman itu keluar untuk dipasarkan.

Para peserta juga diberi pendedahan untuk menyediakan pelan perniagaan dan turut didedahkan dengan Business Model Canvas (BMC) agar perjalanan pemasaran dan perniagaan dapat dijalankan dengan lancar kelak.

Beliau berkata, peserta yang ingin ke arah usahawan pertanian perlu bersedia terutama dari segi penjenamaan supaya produk tersebut dikenali oleh pelanggan.

Persediaan itu juga memerlukan peserta untuk mempelajari teknik yang betul dalam memasarkan produk pertanian.

“Untuk menjadikan sesuatu produk sempurna, ia memerlukan teknik yang baik. Oleh itu, kita sebagai tenaga pekerja dalam bidang perniagaan seharusnya memahami bahawa penghasilan produk berkualiti adalah kunci kejayaan dalam menjayakan penjenamaan.

“Selain itu, para peserta turut mempelajari beberapa modul pengajaran secara teori iaitu modul tanaman, modul ternakan akuakultur dan modul keusahawanan dalam program ini dan latihan amali turut dijalankan melalui kolaborasi bersama rakan strategik industri” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast