Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan senjata api yang di rampas pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan senjata api pengawal keselamatan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor ketika di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 09 FEBRUARI 2024.

SHAH ALAM – Seramai 11 pengawal keselamatan sebuah syarikat ditahan kerana menyimpan senjata api jenis pump gun di rumah.

Ketua Polis Selangor,  Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dibuat oleh pasukan Penguatkuasaan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api) Bukit Aman bersama Unit Penguatkuasaan Lesen IPK Selangor menerusi 11 serbuan pada 6 dan 7 Febuari lalu di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Hasil serbuan 11 lelaki tempatan berumur lingkungan 25 hingga 53 tahun ditahan,” katanya ketika sidang media.

Menurut HUssein, hasil siasatan mendapati semua suspek yang menjadi pengawal keselamatan di beberapa buah bank sekitar daerah itu membawa balik senjata api ke rumah dengan keadaan tidak selamat.

Tambah beliau, mereka menyatakan telah mendapat arahan daripada pihak syarikat untuk membawa pulang senjata sejak dua tahun lalu.

“Mereka membawa balik senjata itu dengan menggunakan motosikal dengan cara tidak selamat dengan menggalasnya. Di rumah mereka letakkannya di bawah katil, di dalam almari dan juga ada di dalam kereta beserta peluru.

“Keadaan ini telah berlarutan selama dua tahun kerana syarikat ini dilesenkan di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Hussein berkata, syarikat pengawal keselamatan tersebut juga didapati pernah melakukan lima kesalahan berulang berkaitan prosedur lesen senjata api sejak 2015.

Mengulas lanjut beliau berkata, semua sebelas individu berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen yang mana boleh disabit kesalahan sehingga tujuh tahun penjara atau denda tidak lebih RM10,000.

Tambahnya, syarikat pengawal keselamatan berkenaan juga berhadapan dengan risiko pembatalan Lesen Senjata Api. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast