Penambahbaikan sistem persaraan kepada sistem KWSP perlu segera diumumkan. Gambar oleh Nguyen Thu Hoai - Unsplash

KERAJAAN telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sistem pencen bagi penjawat awam untuk pengambilan baru bermula 1 Februari 2024. Keputusan ini terpaksa di ambil akibat tekanan ekonomi negara disebabkan oleh hutang yang tinggi serta dana simpanan yang berkurangan. Keadaan ekonomi negara masa ini dilihat tidak mampu untuk menampung pembayaran wang pencen kepada pesara di masa akan datang disebabkan jangkaan jumlah pesara yang semakin ramai dan jangka hayat usia pesara semakin meningkat.

Namun, pemansuhan sistem pencen untuk penjawat awam ini akan memberi kesan yang besar kepada pentadbiran negara terutamanya dalam soal sumber manusia. Kebanyakan individu yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam adalah disebabkan faedah dan manfaat yang ada bersama jawatan tersebut terutamanya sistem pencen. Melalui sistem pencen tersebut, perkhidmatan awam dianggap sebagai pekerjaan yang memberi jaminan kehidupan yang selesa setelah mencapai umur persaraan. Sistem pencen juga sebenarnya menjana rasa kekitaan dan patriotisme kepada negara. Justeru, tanpa pencen, sektor awam di lihat kurang menarik kerana faktor-faktor tertentu termasuk gaji rendah, tiada bonus yang tinggi, fasiliti yang tidak mencukupi, serta tekanan kerja yang berbeza dari sektor swasta.

Tujuan utama kewujudan sektor swasta adalah memaksimumkan keuntungan pemegang saham melalui perniagaan produk atau servis mereka. Manakala tujuan dan misi sektor awam adalah mementingkan aspek pengurusan negara termasuk keselamatan, kesihatan, pendidikan, sosioekonomi, serta kebajikan untuk rakyat. Oleh itu, jawatan perkhidmatan awam sebenarnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi demi memberi kesejahteraan dari segala aspek berkepentingan kepada negara.

Sektor swasta sangat kompetitif dan majikan mereka sentiasa menyediakan pakej faedah yang menarik kepada pekerja terutamanya jawatan yang memerlukan kemahiran tinggi. Sistem KWSP yang digunakan sebagai ganti kepada sistem pencen membolehkan individu yang berkhidmat dalam sektor awam bertukar kerja pada bila-bila masa tanpa ikatan. Antara jawatan yang berisiko termasuk bidang kesihatan, kejuruteraan, pendidikan, pentadbiran dan kepimpinan, ICT, peguam, dan banyak lagi yang berkaitan dengan kemahiran tinggi. Di tambah dengan lantikan baru yang kebanyakannya dari generasi muda seperti Gen-Y dan Gen-Z, mereka amat mengutamakan permintaan dari segi manfaat serta makna dalam pekerjaan. Kerajaan akan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan bakat-bakat muda tersebut di dalam perkhidmatan awam.

Dapatan kajian pakar ekonomi Amerika Syarikat, Prof. Wayne F. Cascio dari University of Colorado pada 2006 menunjukkan kos penggantian seorang pekerja adalah 2.5 kali ganda daripada gaji semasa bagi sesuatu jawatan yang terlibat. Kadar perolehan pekerja mungkin akan lebih tinggi di masa depan, maka kos pentadbiran pekerja juga turut meningkat selaras dengan keperluan perkhidmatan. Kerajaan akan menanggung bebanan yang bertambah bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga berdepan dengan kekurangan pekerja mahir yang sebenarnya amat membimbangkan.

Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dan ditambah baik untuk menghadapi cabaran ini, namun ianya memerlukan tempoh pelaksanaan jangka masa panjang. Setiap perubahan dalam sistem perkhidmatan awam pasti akan membabitkan soal sumber kewangan. Pengurusan serta pentadbiran kemajuan ekonomi masih perlu diperbaiki segera. Penjelasan strategi yang menerangkan maksud penambahbaikan sistem persaraan kepada sistem KWSP juga perlu segera diumumkan kepada orang awam supaya kegelisahan rakyat yang tertekan dengan keadaan ekonomi ini dapat ditenangkan.

 

Dr. Safiah Omar
Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya