KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur pada bulan Disember 2024 terus menurun kepada 567,800 orang dengan kadar pengangguran 3.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, trend guna tenaga yang positif dilihat pada bulan terakhir tahun 2023 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
Justeru, kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh trend yang positif dalam penduduk bekerja dan serentak dengan penurunan dalam bilangan penganggur.
Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang (November 2023: 17.0 juta orang), merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu pada 70.2 peratus (November 2023: 70.1%).
Menurutnya, bilangan penduduk bekerja terus berada pada trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.46 juta orang berbanding bulansebelumnya (November 2023: 16.43 juta orang).
Sementara itu, bilangan penganggur terus menurun, dengan penurunan sebanyak 0.2 peratus mencatatkan 567,800 orang (November 2023: 569,200 orang).
Kadar pengangguran pada bulan Disember 2023 kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya.
“Jumlah penduduk bekerja pada Disember 2023 terutamanya adalah terdiri daripada kategori pekerja, iaitu sebanyak 75.2 peratus. Kategori ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.38 juta orang (November 2023: 12.37 juta orang).
“Begitu juga, trend peningkatan turut dapat dilihat dalam kategori bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.0 juta orang (November 2023: 2.99 juta orang),” katanya.
Sebanyak 79.9 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
Kategori ini berkurang sebanyak 0.2 peratus kepada 453,600 orang (November 2023: 454.5 ribu orang).
Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.8 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.4 peratus.
Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif, turun sebanyak 0.4 peratus kepada 114,200 orang (November 2023: 114,700 orang).
Pada Disember 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus, dengan 307,200 penganggur belia (November 2023: 10.6%; 308.5 ribu orang).
Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.4 peratus, mencatatkan 432,100 penganggur belia (November 2023: 6.5%; 432.0 ribu orang).
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan tahun 2023, Mohd Uzir berkata, berdasarkan data purata bulanan, KPTB pada tahun 2023 meningkat sebanyak 0.7 mata peratus kepada 70.0 peratus berbanding 69.3 peratus pada tahun 2022.
Sementara itu, kadar pengangguran turun sebanyak 0.5 mata peratus kepada 3.4 peratus pada 2023, berbanding 3.9 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Landskap pasaran buruh yang menggalakkan pada tahun 2023 mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan semakin baik sepanjang tahun, sekali gus secara beransur-ansur memulihkan kadar pengangguran untuk kembali ke tahap prapandemik. – MalaysiaGazette