Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan mahu meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk menyediakan peruntukan undang-undang yang lebih jelas dan hukuman lebih berat untuk mat rempit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dendanya tidak kira dari segi penjara atau kewangan akan ditingkatkan untuk membawa satu mesej bahawa mat rempit yang melakukan lumba dan aksi bahaya akan menanggung akibatnya.

“Kami akan meminda Akta Pengangkutan Jalan pada tahun ini, salah satu daripada pindaan adalah undang-undang yang menyasarkan mat rempit.

“Kami memerlukan undang-undang yang jelas untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mengikut undang-undang sedia ada, mereka yang membawa kenderaan secara melulu boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 dan dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Anthony berkata, walaupun Akta Pengangkutan Jalan mempunyai undang-undang mengenai memandu secara melulu, tetapi tidak mempunyai definisi yang terang.

Beliau berkata, kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah sebaliknya adalah jelas, termasuk menyatakan sukatan dalam ujian alkohol

“Oleh itu, kami mahu meminda akta supaya  mempunyai undang-undang yang spesifik mengenai kesalahan mat rempit atau lumba haram,” katanya.

Anthony bagaimanapun berkata, pindaan tidak akan memasukkan istilah “mat rempit”, tetapi menggunakan perkataan seperti “lumba.”

“Pindaan harus menjelaskan apakah maksud lumba. Adakah ia harus lebih daripada satu kenderaan? Bagaimana membezakannya dengan persembahan.

“Kami perlu meneliti dari banyak aspek,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, beliau tidak boleh memuaskan hati semua orang apabila ditanya tentang harga tiket penerbangan khas ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.

Beliau berkata, walaupun terdapat pihak yang tidak berpuas hati kerana langkah itu hanya membabitkan destinasi ke Sabah dan Sarawak, tetapi mereka perlu faham bahawa pengangkutan udara merupakan satu-satunya cara untuk balik ke dua negeri itu.

Katanya, orang di Semenanjung sebaliknya boleh menggunakan pengangkutan jalan dan menikmati tol percuma. – MalaysiaGazette