Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengingatkan orang ramai untuk sentiasa melindungi butiran peribadi dan akaun mereka daripada kaedah penipuan (scam) yang melibatkan pancingan data (phishing) dan perisian hasad (malware).

Pancingan data adalah amalan menghantar e-mel atau mesej secara dalam talian daripada pihak yang menyamar sebagai syarikat yang sah agar pengguna mendedahkan maklumat peribadi seperti kata laluan, nombor akaun, kad kredit dan debit serta pelbagai butiran penting lain.

Sementara perisian hasad direka khas untuk mendapatkan maklumat, merisik, mengawal dan menyerang peranti peribadi pengguna seperti telefon dan jam pintar, tablet serta komputer.
Penjenayah akan memasukkan perisian hasad ke dalam peranti menggunakan aplikasi yang mereka bangunkan.

Kebiasaannya ia kelihatan seumpama aplikasi yang sebenar bagi
mengaburi pertimbangan pelanggan, katanya dalam satu kenyataan.

“Pihak tidak bertanggungjawab akan menggunakan maklumat sulit yang telah dicuri untuk mengubah tetapan peranti serta mendapat akses aplikasi pengguna termasuk terhadap platform penting pengguna termasuk perbankan dan e-mel mereka,” ujarnya.

Bank Islam menegaskan tiada pihak ketiga dilantik untuk mendapatkan maklumat dan butiran akaun pelanggan.

Sebarang perubahan pada butiran dan akaun perbankan
pelanggan hanya boleh dilakukan menerusi platform rasmi Bank Islam termasuk Perbankan Internet Bank Islam (www.bankislam.biz), aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau GO Biz by Bank Islam serta Be U by Bank Islam.

Sebarang muat turun perlu dilakukan daripada gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple App Store. Pelanggan diseru agar tidak menyimpan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam pelayar (browser) laman sesawang mereka.

Sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-2690 0900 atau e-mel ke [email protected]. Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 sekiranya akaun mereka disyaki telah dicerobohi. – MalaysiaGazette