Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan kebakaran di beberapa unit rumah pangsapuri di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras. Foto SYADILA AMARI, 11 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kegagalan sistem pemadaman di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras menyebabkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat sukar untuk memadamkan kebakaran dengan lebih awal dalam kejadian malam tadi.

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nordin Pauzi berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kelengkapan pam air yang dimiliki untuk diletakkan di tingkat 16 sebelum dapat memadamkan kebakaran itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada pukul 9.19 malam sebelum empat balai bomba terdekat di kawasan Cheras telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan kebakaran di beberapa unit rumah pangsapuri di Flat Sri Sabah, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2024.

Selain dengan kekuatan 55 anggota bomba dibantu, pihaknya turut dibantu dengan 39 anggota agensi lain antaranya polis, Jabatan Pertahanan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi membantu operasi ini.

“Pemeriksaan awal mendapati kebakaran hanya berlaku di sayap kanan bangunan tingkat 17 yang mempunyai enam unit rumah dengan dua daripadanya berkunci. Daripada jumlah ini hanya lima buah sahaja musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu manakala seunit lagi yang terletak dihujung sebelah tangga terselamat.

“Rumah ini ada sistem pemadaman kebakaran (hos pemadam api) tetapi tidak berfunsi sepenuhnya malam ini, jadi pihak bomba terpaksa menggunakan kelengkapan sedia ada untuk membawa air ke ke tingkat paling atas.

“Jadi kita bawa ‘relay pump’ dan letak di tingkat 16, apabila pam dan tekanan air baik jadi proses pemadam berjalan lancar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian tersebut.

Jelasnya lagi jika melihat pada corak kebakaran, kawasan paling banyak terkesan adalah rumah nombor 3 dan kebakaran dipercayai merebak dari rumah tengah ke rumah kedua dua-dua sisi tetapi punca sebanar kebakaran akan dikenalpasti menerusi siasatan.

Tambah Pauzi, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam lebih kurang 11.22 malam tadi dan menjangkakan dalam pukul 2 pagi penduduk lain di Blok 70 itu dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” ujar beliau.

Susulan kebakaran itu, beliau menjangkakan penduduk bakal menghadapi gangguan air namun tiada masalah dengan bekalan elektrik.

“Bomba masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah.

“Malah tiada mangsa yang tercederan dalam insiden ini manakala mangsa yang terlibat dalam kebakaran ini akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dibenarkan ke penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras.

Penduduk berkumpul di kawasan lapang berikutan faktor keselamatan selepas beberapa unit rumah pangsapuri terlibat dalam kejadian kebakaran di Flat Sri Sabah, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2024.

“Anggaran kerugian masih belum boleh ditetapkan kerana ia merupakan hartanah persendirian dan kita perlu menilai kandungan barang yang musnah dalam kebakaran itu sebelum menentukan nilai kerugian,” tambahnya. – MalaysiaGazette