PETALING JAYA – Enam beradik berjaya diselamatkan oleh anggota bomba selepas kebakaran berlaku di rumah mereka di Blok Q Apartment Idaman, dekat Damansara Damai di sini hari ini.
Ketika kejadian hanya adik-beradik yang berusia dua hingga 11 tahun berada di rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kesemua mangsa agak cemas dan ketakutan ketika diselamatkan.
Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dari rumah tersebut tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Kami difahamkan ibu bapa mangsa berada di hospital kerana bapa mereka mengalami masalah sakit jantung dan sedang menerima rawatan di hospital,” kata Ahmad Mukhlis.
Menurutnya, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 11.15 pagi tadi.
“Bertindak atas panggilan orang awam itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dengan sebuah jentera pemadam telah dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Siasatan mendapati kebakaran melibatkan sofa di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba terpaksa memecahkan pintu gril hadapan dengan memotong menggunakan mesin pemotong gril khas untuk menyelamatkan adik-beradik tersebut.
Tambahnya, bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian. – MalaysiaGazette