PUCHONG – Kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata, penetapan harga siling baharu dan tetap pada 19 Februari ini dan berada di pasaran pada 1 Mac.
Katanya, penetapan harga itu melibatkan beras 10 kilogram pada harga RM30, lima kilogram pada harga RM15.50 dan satu kilogram harga RM3.50.
“Para pemain industri beras mempunyai tempoh 10 hari bermula Isnin hingga 1 Mac ini untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras untuk disesuaikan dengan ketetapan baharu itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Syed Abu Hussin Hafiz, semua jenis pembungkusan dan warna untuk beras yang telah berada di pasaran dibenar digunakan sehingga stok yang dimiliki pemborong habis dijual.
Tambah beliau, ketetapan harga yang diperkenalkan itu merupakan langkah menang-menang kepada pemegang taruh, pengilang dan peniaga dengan memastikan harga beras di pasaran stabil.
Jelasnya, kerajaan mengambil ketetapan memperkenalkan harga baharu beras putih selepas mengambil kira faktor ketiadaan kenaikan harga beras putih selama 18 tahun lalu.
“Formula memperkenalkan harga baharu Beras Putih Malaysia Madani telah dibentang dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.
“Malah kita juga telah mengadakan kajian teliti serta perbincangan dengan para pemegang taruh khususnya pertemun bersama lima ‘big brother’ atau pemain industri beras utama sebelum mempersetujui dengan langkah ini,” ujarnya.
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, sesi libat urus turut diadakan dengan wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, pengilang padi dan beras serta pemborong beras untuk mencari solusi tetap tentang kenaikan harga beras putih serta ketiadaan beras putih tempatan di pasaran tempatan.
Katanya, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani juga merupakan mekanisme yang mampu menghentikan tindakan manipulasi bekalan beras putih tempatan.
Jelas beliau, sebelum ini terdapat pengeluar beras mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import dan menjualnya bagi meraih keuntungan tinggi selepas harga beras di peringkat global mengalami peningkatan menyababkan harga beras import naik.
“Mereka bertindak demikian disebabkan beras putih import tidak dikenakan harga kawalan sekaligus mengakibatkan harga beras sentiasa tinggi dalam pasaran.
“Senario itu sekaligus menyebabkan label beras putih tempatan akhirnya ditukar kepada beras putih import atau ia dicampur dan sebagainya menyebabkan bekalannya tidak dapat diperolehi di pasaran oleh pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette