Salah seorang ahli keluarga (kiri) kepada mayat mangsa yang terlibat dalam nahas udara di Kampung Tok Muda, Kapar, tiba di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTRA), Klang, kira-kira jam 8.20 pagi tadi

KLANG – Kedua-dua belah ahli keluarga kepada mangsa nahas udara melibatkan pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar semalam mula meninggalkan Jabatan Forensik pada jam 9.50 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kira-kira enam ahli keluarga hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, dipercayai untuk diambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Nahas udara yang mengorbankan dua mangsa dikenali sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, dituntut ahli keluarga sejak awal pagi tadi.

Terdahulu, dua ahli keluarga kepada Roshaan tiba di Jabatan Forensik kira-kira jam 8.05.

Bagaimanapun dua beranak ini kelihatan meninggalkan Jabatan Forensik kira-kira jam 9.50 pagi.

Wartawan MalaysiaGazette cuba bertanyakan mengenai keadaan mangsa, namun dua ahli keluarga Roshaan berlalu pergi dan meminta diberi ruang untuk bertenang.

Selain itu, empat ahli keluarga kepada seorang lagi mangsa nahas, Yee, yang tiba di Jabatan Forensik kira-kira jam 8.10 pagi, bagaimanapun meninggalkan kawasan itu jam 9.15 pagi tadi.

Semalam, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC) yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.

Bagaimanapun pesawat itu dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar, di sini.

Perkara itu disahkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.56 tengah hari, semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast