Gambar hiasan

BARU-baru ini viral dalam kumpulan whatsapp pensyarah di universiti saya mengenai penulisan seorang pensyarah yang menyatakan kerja pensyarah adalah mudah tetapi menerima gaji tinggi. Bila membaca surat yang ditulis oleh pensyarah itu, saya menjadi sangat cemburu dengan kerja beliau yang dikatakan relaks itu. Cemburu yang amat.

Saya juga merupakan pensyarah di sebuah universiti awam di Malaysia. Ini merupakan tahun ke 10 saya berkhidmat di universiti berkenaan. Dan tujuan saya menulis artikel ini bukan hendak berdebat dengan penulis surat berkenaan. Tetapi saja hendak memberitahu apakah tanggungjawab dan tugas yang diamanatkan oleh universiti tempat saya berkerja kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Pertamanya memang kami juga diberikan dua hingga tiga kursus untuk diajar. Setiap kursus, masa kuliahnya ialah dua jam, manakala untuk tutorial sejam tetapi akan ada sekurang-kurangnya empat kelas untuk tutorial, iaitu mengikut jumlah pelajar yang mendaftar untuk satu-satu kursus. Jadi kalau seorang pensyarah mempunyai dua kursus untuk diajar, masa kuliah yang digariskan adalah empat jam dan masa tutorial ialah lapan jam. Jadi masa pengajaran dalam satu minggu ialah 12 jam.

Untuk mengambil kelas pada setiap minggu, saya akan menghabiskan masa lebih kurang empat hingga enam jam untuk membaca, menyelidik dan mengumpulkan maklumat untuk menyediakan bahan pengajaran dan slide-slide yang berkualiti untuk pelajar semasa memberikan kuliah. Saya juga menghabiskan masa satu hingga dua jam untuk menyediakan bahan untuk tutorial. Jika kursus itu pernah saya ajar dahulu, saya akan tambah baik slide itu dengan maklumat terkini untuk memberikan input yang lebih baik kepada pelajar-pelajar saya.

Selepas minggu ketujuh minggu pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan menghantar tugasan mereka. Jika satu kursus mempunyai 130 orang pelajar, jadi mengajar dua kursus akan membawa kepada 230 skrip tugasan untuk diperiksa. Itu belum termasuk lagi kuiz, ujian pertengahan semester, pembentangan, lawatan lapangan, kerja-kerja makmal dan pelbagai keperluan kursus yang lain yang perlu dipenuhi. Sepanjang minggu pengajaran dan pembejaran juga akan berlangsung waktu-waktu perjumpaan dengan pelajar yang hendak bertemu dengan kami untuk menyelesaikan pelbagai isu.

Pada masa yang sama pensyarah harus menyediakan dua set soalan peperiksaan untuk setiap kursus yang diajar jika kursus itu mempunyai komponen peperiksaan. Kemudian soalan peperiksaan itu harus di bawa ke proses vetting untuk memastikan tidak terdapat sebarang kesalahan dalam soalan peperiksaan berkenaan. Jika seorang pensyarah mengajar dua kursus, pensyarah harus menyediakan empat set soalan peperiksaan bersama dengan skema jawapan sekali.

Selepas minggu ke-15, akan diadakan peperiksaan, di mana pensyarah harus menjadi penjaga peperiksaan. Selepas mendapat skrip peperiksaan, akan bermulanya aktiviti menyemak jawapan pelajar, memasukkan markah tugasan dan peperiksaan dalam borang pemarkahan dan menghantarnya kepada staf untuk dikumpulkan. Kemudan pensyarah akan menganalisis dan menulis laporan mengenai prestari pelajar untuk dibentangkan dalam mesyuarat peperiksaan pusat pengajian, dalam mesyuarat ini juga semua pensyarah akan menyemak keputusan peperiksaan semua kursus. Selepas mesyuarat ini diadakan, barulah keputusan peperiksaan akan diumumkan kepada pelajar.

Selepas itu pensyarah akan memulakan kerja-kerja menyediakan fail kursus untuk setiap kursus yang harus memuatkan segala satu maklumat mengenai perjalanan kursus dari minggu pertama hingga mesyuarat majlis peperiksaan. Semua maklumat kursus termasuk slide-slide kuliah, pelan pengajaran dan pembelajaran, senarai kehadiran, contoh kerja kursus dan contoh skrip peperiksaan pelajar harus dimasukkan dalam dokumen berkenaan. Percayalah proses sediakan fail kursus ini akan mengambil sekurang-kurangnya seminggu minggu untuk setiap kursus.

Sepanjang minggu pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung juga kerja-kerja penyeliaan pelajar sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Sekurang-kurangnya seorang pensyarah akan mempunyai tiga orang pelajar sarjana dan tiga orang pelajar PhD untuk diselia. Pensyarah harus menyelia dan menyediakan mereka untuk ke proses proposal defend, membuat pembetulan dan seterusnya membimbing mereka untuk menghadapi viva.

Pada masa yang sama, kami juga harus menjadi penel penilai untuk proposal defend dan viva, jadi kami harus meluangkan masa berjam-jam untuk membaca hasil tulisan dan menulis laporan pelajar sarjana dan PhD untuk membantu mereka menghasilkan hasil kajian yang baik dan berkualiti. Kami juga menghabiskan masa berbulan-bulan untuk membuat kajian dan menulis, jurnal-jurnal ilmiah, mencari penerbit, menghantar penerbitan kepada jurnal, membuat pembetulan dan menghantar semula untuk penerbitan.

Pensyarah juga harus mencari tempat persidaangan untuk membentangkan hasil kajian. Pensyarah juga harus mencari idea untuk menulis dan memohon geran universiti, industri, dalam atau luar negara. Selepas mendapat geran, penyelidikan, kerja lapangan dan sebagainya harus dilakukan dalam tempoh masa geran dipohon. Laporan akhir, penerbitan dan menyelia dan menggruaduatkan kan seorang pelajar mengikut keperluan geran harus dilakukan. Kami juga harus menghadiri pelbagai kursus yang diadakan oleh pihak universiti atau pihak luar untuk meningkatkan pengetahuan dari masa ke masa untuk berlari seiring dengan keperluan zaman. Kami juga harus menghadiri majlis graduasi pelajar untuk meraikan mereka. Itu belum lagi aktiviti menyambut tetamu dan delegasi luar negara yang melawat pusat pengajian kami untuk pelbagai tujuan seperti banchmaking, mou, moa dan sebagainya.

Selain bertugas untuk pusat pengajian, kami juga akan melibatkan diri dengan aktiviti universiti dengan menyertai pelbagai aktiviti di peringkat universiti, menghadiri taklimat atau ceramah oleh naib canselor, menjadi AJK untuk kumpulan pelaksaan universiti dan sebagainya. Apa yang saya senaraikan ini ialah hanyalah tugas pensyarah biasa dan bukannya untuk mereka yang berada dalam pengurusan seperti pengerusi rancangan, timbalan dekan atau dekan. Saya sebenarnya sudah penat menulis, saya berhenti di sini untuk memberikan peluang kepada pensyarah lain untuk menulis dan menyenaraikan lagi tugasan lain mengikut keperluan universiti mereka.

Terima kasih

Dr. Rani Ann Balaraman
USM