KUALA LUMPUR – Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan mendakwa pernah mempersoalkan keperluan memasukkan wang dengan jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, Low Taek Jho atau Jho Low yang merupakan Lembaga Penasihat 1MDB bagaimanapun memintanya supaya tidak risau tentang perkara tersebut.
Jasmine memberitahu, ahli perniagaan dalam buruan itu juga memberitahunya supaya tidak mengambil tindakan kerana perkara tersebut telah diuruskan.
“Kata Jho Low, beliau mempunyai bukti ia dilakukan atas pengetahuan, kehendak serta perintah Najib. Dia juga memberitahu saya duit sebanyak itu adalah untuk kegunaan politik bagi tujuan pilihan raya untuk Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Saya marah dan desak Jho Low tapi dia minta saya jangan risau,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Sementara itu, Jasmine mendakwa beliau tidak mengetahui tentang wang deposit sekuriti berjumlah RM576,943,490 dan RM790,354,855 dimasukkan daripada akaun Aabar Investment PJS Limited (BVI) ke dalam akaun Blackstone Asia Real Estate milik Tan Kim Loong.
Kim Loong merupakan sekutu Jho Low dan syarikatnya juga dikaitkan dengan lelaki itu.
Jasmine berkata, beliau hanya mengetahuinya selepas perkara tersebut disiarkan dalam media dan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 2015 dan 2016.
Menurutnya, dia ada bertanyakan kepada Jho Low apakah yang sedang berlaku dan ahli perniagaan itu menyatakan semuanya sah dan diketahui Najib, namun memperincikan tentang perkara tersebut.
Kata Jasmine yang berpendapat semua arahan Jho Low dalam 1MDB adalah kehendak Najib berkata: “Ini juga kerana setiap dokumen yang diminta untuk disediakan oleh Jho Low akan dikembalikan dengan tandatangan Najib,” .
Ketika Jasmine memberikan keterangan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit membantah kenyataan wanita itu kerana menyifatkannya sebagai khabar angin tanpa bukti untuk menyokongnya.
Semalam, Jasmine berkata, Jho Low dari awal perkenalannya sudah menonjolkan diri seolah-olah proksi Najib dan mampu mempengaruhi bekas pemimpin negara itu. – MalaysiaGazette
Peliknya pegawai bank ni tak tanya sendiri dengan Najib? Semua dia duk tanya dgn JLow jaaa…kalau Jlow suruh makan taik pun dia telan…bodoh punya manusia..nak menipu pun agak2 laaa