PUTRAJAYA, 15 Februari 2024 – Suku tahun keempat 2023 mencatatkan penambahan jawatan sebanyak 179,500, dengan jumlah keseluruhan jawatan 8.94 juta.

Laporan ini membentangkan statistik permintaan buruh merangkumi indikator bilangan jawatan, jawatan diisi, kekosongan jawatan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tahun keempat 2023, jawatan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.1 peratus atau bersamaan dengan 179,500 tahun ke tahun dengan merekodkan 8.94 juta jawatan berbanding tahun lepas (ST4 2022: 8.76 juta).

Peningkatan jumlah jawatan ini menunjukkan permintaan buruh di Malaysia kekal menggalakkan dan stabil, seterusnya menyokong prospek ekonomi yang lebih baik pada tahun 2024.

Jumlah jawatan diisi berdasarkan prestasi tahun ke tahun meningkat sebanyak 2.1 peratus dari 8.56 juta pada ST4 2022 kepada 8.74 juta pada ST4 2023.

Sementara itu, jumlah kekosongan jawatan menurun sebanyak 1.1 peratus, merekodkan 190,200 kekosongan pada suku tahun ini (ST4 2022: 192.4 ribu).

Walau bagaimanapun, kadar jawatan diisi kekal tinggi pada 97.9 peratus manakala kadar kekosongan jawatan adalah 2.1 peratus.

Bagi pewujudan jawatan pada suku tahun ini, ia meningkat sebanyak 0.6 peratus atau bersamaan dengan 31,100 (ST4 2022: 30,900).

Semua sektor ekonomi kekal stabil dan menunjukkan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun, dengan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 3.6 peratus, diikuti oleh pembuatan (2.4%) dan perkhidmatan (2.2%)

Melihat kepada pecahan mengikut sektor ekonomi, sejumlah 4.60 juta jawatan yang merangkumi 52.6 peratus daripada jumlah jawatan diisi tertumpu pada sektor perkhidmatan, diikuti oleh pembuatan (27.0%; 2.36 juta) dan pembinaan (14.2%; 1.24 juta).

Mengikut kategori kemahiran, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 62.7 peratus dengan 5.48 juta jawatan, diikuti oleh mahir dan berkemahiran rendah iaitu masing-masing pada kadar 25.0 peratus (2.19 juta) dan 12.3 peratus (1.08 juta).

Mengulas lanjut mengenai kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, Mohd Uzir, kekosongan jawatan pada suku tahun ini mengalami penurunan sebanyak 1.1 peratus dari tahun ke tahun dengan merekodkan 190,200, berbanding dengan ST4 2022 (192,400).

Perincian mengikut kategori kemahiran, lebih daripada separuh kekosongan jawatan pada ST4 2023 adalah dalam kategori separuh mahir yang merangkumi 55.5 peratus (105,600), diikuti oleh mahir dengan 25.3 peratus (48.1 ribu) dan 19.2 peratus (36.5 ribu) dalam kategori berkemahiran rendah.

Dari segi aktiviti ekonomi, sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai pemacu utama bagi kekosongan jawatan dengan 56.8 peratus (108,000), terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik, dan optikal (33,000) dan produk petroleum, kimia, getah, dan plastik (20,000).

Sektor pertanian menduduki tempat kedua dengan 16.3 peratus kekosongan jawatan (31,100) dan diikuti oleh pembinaan dengan 13.5 peratus (25,500).

“Pewujudan jawatan dilihat lebih banyak pada suku tahun ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 31,100 jawatan baharu berbanding dengan suku sama tahun sebelumnya (ST4 2022: 30,900).

Di samping itu, perbandingan pewujudan jawatan secara tahunan, bilangan pewujudan jawatan pada tahun 2023 adalah yang tertinggi dalam siri masa iaitu 126,500 berbanding yang direkodkan pada 2022 (116,700) dan 2021 (69,500) disebabkan oleh sokongan daripada permintaan domestik untuk memenuhi keperluan industri.

Daripada jumlah keseluruhan pewujudan jawatan, kategori separuh mahir mendahului dengan 19.3 ribu (62.3%), diikuti oleh mahir dengan 8.6 ribu (27.7%) dan berkemahiran rendah dengan 3.1 ribu (10.0%).

Melihat kepada perincian permintaan buruh mengikut aktiviti ekonomi, sebahagian besar pewujudan jawatan baharu adalah dalam sektor perkhidmatan dengan 15,100 (48.7%), terutamanya dalam subsektor perniagaan borong dan runcit.

Sektor pembuatan menduduki tempat kedua dengan 10,500 pewujudan jawatan dengan sumbangan 34.0 peratus, terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik, dan optikal.

Tempat ketiga adalah sektor pembinaan (12.0%), diikuti oleh pertanian (4.6%) dan perlombongan dan pengkuarian (0.7%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast