Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa keputusan kes Nik Elin Zurina menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan merupakan satu permainan sentimen yang mengelirukan oleh setengah-setengah pihak.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan tersebut tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang.

“Fungsi mahkamah ini harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata, undang-undang sivil juga boleh terbatal apabila melangkaui bidang kuasa seperti mana senarai-senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memberi contoh kes Mamat Daud vs. Kerajaan Malaysia (1988) 1 MLJ 119.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 298A Kanun Keseksaan terbatal kerana tidak berperlembagaan memandangkan kesalahan berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan mahkamah syariah.

Sementara itu Mohamad menggesa agar peranan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Mengubal Undang-undang Islam diperhebatkan.

Jawatakuasa itu perlu bertindak sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri-negeri dan wilayah persekutuan dalam memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah dengan melibatkan semua wakil negeri-negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, langkah itu perlu supaya sebarang pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Parti Amanah Negara sebagai parti yang menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sentiasa menyokong penuh usaha-usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah termasuk bidang kuasa mahkamah syariah.

“Selaras dengan beberapa peruntukan khusus berkaitan kedudukan Islam termasuk sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) dan bidang kuasa undangundang di bawah Perkara 121 (1A) dan Senarai 2 Jadual Kesembilan,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.- MalaysiaGazette