KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak saman pemula berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (YDPA) ketika itu yang tidak bertindak terhadap nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.
Sebaliknya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan kuasa YDPA untuk mengisytiharkan darurat adalah di luar semakan mahkamah mengikut Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
“Bawah peruntukan ini, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan pemohon.
“Perisytiharaan Darurat dibuat oleh YDPA di bawah Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan), di bawah Perkara 40(1)(Perlembagaan), Seri Paduka Baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat daripada Kabinet.
“Kabinet sebagai cabang eksekutif kerajaan sudah pasti mempunyai maklumat mengenai perkara keselamatan yang tidak dimiliki oleh mahkamah dan oleh itu, berada dalam kedudukan terbaik untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” katanya, hari ini.
Wan Ahmad Farid juga tidak menetapkan sebarang kos dalam saman itu.
Sebelum ini, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar memfailkan saman dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.
Melalui saman pemula itu, plaintif antara lain menuntut untuk menentukan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, YDPA mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.
Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.
Plaintif turut menuntut relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah tanpa sebarang perintah kos.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah memaklumkan tiada keperluan buat masa itu untuk mengisytiharkan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman Covid-19.
Baginda berpendapat kerajaan ketika itu berjaya menangani wabak itu dengan baik dan berkesan. – MalaysiaGazette