KUANTAN – Seramai 55 orang penduduk bertuah selepas terpilih menerima kunci rumah Program Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra 3, di sini hari ini.

Manakan tidak, ada dalam kalangan mereka yang betul-betul memerlukan tempat tinggal yang kadar sewanya tidak terlalu membebankan.

Demikian kata Saimah Sulong, 56 yang terpaksa berpindah keluar daripada rumah sewa yang didiaminya sejak 18 tahun lalu di Tanjung Api.

“Sewa di situ dalam RM200. Memang mampu sangat, tapi tuan rumah nak ambil semula rumah sewa dia. Tak pasti, mungkin untuk duduk situ pula kot,” katanya.

Saimah Sulong

Wanita itu ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Penghuni Baharu PPRS Pinggiran Putra 3 oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Pejabat Sekretariat Muafakat Komunitinya, di sini hari ini.

Ibu kepada tujuh anak itu merasa lega apabila terpilih menerima kunci rumah sewa di PPRS tersebut selepas kira-kira enam bulan membuat permohonan kepada pihak MBK.

Tambahan pula, Saimah memberitahu, rumah sewa dengan kadar bayaran RM125 sebulan itu sesuai didudukinya buat masa ini kerana anak-anaknya yang berusia 17 tahun sehingga 30 tahun sudah dewasa dan mempunyai keluarga masing-masing.

Begitu juga dengan Mohd Ehsan Abdul Razak, 34 yang sebelum ini mendiami rumah peninggalan allahyarham ibunya di Rumah Pangsa Alor Akar.

“Memang jimat kos lah saya mohon sewa di sini. Saya kerja pengawal keselamatan di pasar raya di bandar manakala isteri tidak bekerja. Jadi sewa sebulan RM125 tu mampu saya bayar,” jelasnya.

Mohd Ehsan Abdul Razak

Seorang lagi yang ditemui iaitu Omar Awang, 71 pula sebelum ini berteduh di rumah ibu mertuanya bersama isteri dan tiga orang anak berusia 5 tahun sehingga 15 tahun.

“Walaupun hanya rumah sewa. Tapi saya sangat bersyukur sebab harga sewanya sangat berpatutan dalam RM100 lebih. Sekarang ni, rumah tengah mahal. Kalau tiada RM700 sebulan ke atas, memang tak dapat,” luahnya.

Dia yang merupakan pesara MBK memberitahu, sumber pendapatan mereka sekeluarga kini bergantung dengan hasil jualan kuih oleh isterinya selain pencen RM1,500 yang diterimanya setiap bulan.

Justeru, peluang yang datang seperti ini amat dihargai mereka sekeluarga.

Omar Awang

Sementara itu, Ahli Majlis MBK, Fadzilah Mohamed Tahir ketika ditemui berkara, pihaknya sentiasa akan membuat hebahan sekiranya terdapat kekosongan unit PPRS tersebut dari masa ke masa.

“Kita akan war-warkan di platform media sosial dan website MBK untuk kemasukan baharu sebab tiada tempoh masa apabila berlaku kekosongan.

“Cumanya, kriteria yang panel ahli majlis ambil kira mestilah mengutamakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan mereka yang betul-betul susah,” jelas Fadzilah.

Fadzilah Mohamed Tahir

Beliau memberitahu terdapat 2,632 unit rumah yang kini dihuni penduduk di dua blok iaitu blok A dan blok B di PPRS terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast